Monday, May 23, 2011

BiLa TiBa SaaTnYa

Bila tiba saatnya, kita harus membuat keputusan. Sama ada keputusan itu tepat atau tidak, kita harus redha dengan ketentuanNya. Kadang-kadang keputusan itu bukan tidak tepat, tapi DIA ingin menguji kita. Sejauh mana kesabaran dan ketabahan kita dalam menghadapi dugaan dan ujianNya. Setiap dugaan yang datang, kita pasti boleh menghadapinya dengan tabah dan sabar. Ini kerana, DIA tahu kita mampu hadapinya. DIA tidak akan membebankan kita, jika kita tidak mampu untuk menghadapinya. Ingatlah DIA sentiasa ada bersama dengan orang-orang yang sabar dan tabah dalam menghadapi ujianNya. 

Dulu, selepas mendapat keputusan PMR, aku memohon untuk memasuki sekolah teknik. Dan permohonan aku telah diterima. Aku mendapat jurusan kejuruteraan elektrik di Sekolah Menengah Teknik Dungun, Terengganu. Tapi aku telah menolak tawaran tersebut kerana aku memikirkan mengenai adik-adikku dan ayahku. Jika aku terima tawaran tersebut, siapa yang akan jaga mereka? Siapa yang akan menyediakan makan minum untuk mereka? Siapa yang akan mengemas rumah? Ini kerana, ibu kami telah meninggal dunia ketika aku berusia 11 tahun.

Aku perlu memilih di antara cita-citaku atau keluargaku. Tapi aku memilih untuk terus berada di sisi keluargaku. Tawaran itu aku tolak. Bagiku, keluarga amat penting. Biarlah cita-citaku untuk memasuki sekolah teknik tidak tercapai. Asalkan aku dapat melihat senyuman dan kebahagian keluargaku. Itu lebih utama bagiku. Jika mereka gembira, aku pun turut gembira.

Ada banyak hikmah disebalik penolakanku untuk memasuki sekolah teknik. Antaranya, aku lebih kuat dan tabah dalam menghadapi unjianNya. Aku juga boleh hidup berdikari. Dan kehidupanku mengajar aku supaya jangan bergantung kepada insan yang bergelar manusia, tapi aku mesti yakin dan bergantung kepadaNya. Kerana kadang-kadang insan yang bernama manusia bersama dengan kita ketika kita senang, tapi bila kita susah, tidak ada seorang pun yang peduli. Itulah lumrah kehidupan ini. Aku juga lebih dekat padaNya. Yang paling aku tidak lupa, selepas tamat tingkatan 5, aku telah menerima tawaran untuk belajar di UiTM Arau, Perlis dalam jurusan Diploma Sains Kuantitatif. Itulah pertama kali aku berpisah dengan keluargaku.

Dan bila tiba saatnya, jika kita perlu membuat keputusan. Sentiasalah memohon dan meminta petunjuk dariNya. Jangan sesekali menyesali keputusan yang telah kita ambil. Ingatlah, banyak hikmah disebalik ujian dan dugaan dariNya. DIA sentiasa ada bersama-sama kita, ketika kita senang atau susah.

No comments:

Post a Comment